Salam terindah buat sahabat-sahabat sekalian. Alhamdulillah… Masih diberi kesempatan oleh Allah S.W.T untuk saya menitip bicara di ruangan kalam ini. Kali ini saya ingin berkongsi serba ringkas mengenai pengalaman serta apa yang telah kami perolehi sepanjang mengikuti PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI BSMM USIM. Program ini telah dijalankan di KAMPUNG JALAN JAMBU, MERU, KLANG pada 26 Oktober 2011 baru-baru ini. Alhamdulillah… Program ini berjalan lancar dan saya boleh labelkan sebagai program yang terbaik. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dipermudahkan segala urusan kerana semua yang baik itu datang dari pencipta yang Agung.
Program Khidmat Komuniti BSMM USIM ini telah dianjurkan secara bersama oleh Bulan Sabit Merah USIM dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM serta telah menelan belanja yang boleh dikatakan agak banyak untuk menampung perbelanjaan program ini. Peserta-peserta program ini juga disasarkan seramai 90 orang.
Pada hari Sabtu bersamaan 26 Oktober 2011, semua peserta diminta berkumpul di deretan bangunan Kolej Kediaman Akasia Avenue tepat jam 7.30 pagi. Sebelum bertolak jam 8.30 pagi, kami dihidangkan sebungkus nasi lemak sebagai alas perut. Taklimat diberikan oleh pengarah program, saudari Nor Sakinah binti Jalil selepas usai sarapan serta bacaan doa dipimpin saudara Adam Faris bin Mohd Zain untuk kelancaran program seluruhnya.
Setibanya di destinasi jam 10 pagi, kami dipersilakan masuk ke perkarangan Surau Darul Muslimin. Terpandang banner khas yang tergantung di perkarangan surau menyambut ketibaan kami melonjakkan semangat yang berkobar-kobar untuk terus berbakti kepada masyarakat setempat.
Tanpa membuang masa, kami dipersilakan masuk ke dalam surau untuk mendengar taklimat ringkas serta ucapan alu-aluan meraikan kedatangan kami. Taklimat ringkas ini dipengerusikan oleh saudari Ammanina binti Mohd Ramsah dan bacaan doa memohon keberkatan majlis dipimpin oleh saudara Mohd Afdhal bin Za’ba. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan dari wakil penduduk setempat, Cikgu Zaman bin Sari. Seterusnya, pembahagian tugas kepada semua peserta yang terlibat telah disampaikan oleh saudari Siti Maszeni binti Nawi wakil unit aktiviti..
Seusai taklimat ringkas tersebut, semua peserta bergerak ke bahagian masing-masing untuk memulakan tugas. Kumpulan peserta lelaki telah dipertanggungjawabkan untuk membersih sekitar luar kawasan surau serta menebang pokok. Kumpulan perempuan pula telah dipecahkan kepada tiga kumpulan iaitu membersihkan kawasan dalam surau, persekitaran luar surau dan penyediaan makanan untuk santapan tengah hari.
Tanpa riak yang penat dalam keadaan cuaca yang agak panas tidak mematahkan semangat kami untuk terus berbakti kepada warga setempat. Menjelang jam 12 tengah hari, semua peserta masih meneruskan aktiviti masing-masing dibantu sebilangan penduduk setempat yang hadir membantu.
Jam 1.20 petang, kami solat berjemaah bersama penduduk setempat. Walaupun penat, tanggungjawab kepada pencipta tidak sesekali dilupakan. Selesai solat, kami bergotong-royong menghidangkan makanan sebelum makan bersama-sama penduduk kampung.
Usai makan berjemaah, slot seterusnya tidak dapat dijalankan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun kehadiran anak-anak kecil yang sebahagian besarnya masih bersekolah rendah menghidupkan suasana petang itu. Pelbagai aktiviti yang diketuai sendiri oleh pengarah program menceriakan kanak-kanak yang hadir disamping pemberian cenderamata berupa gula-gula serta makanan ringan menghargai kedatangan mereka.
Aktiviti diteruskan dengan solat asar berjemaah yang diimami oleh warga setempat mengubat kerinduan ibarat berada di kampung halaman sendiri. Selepas selesai solat, aktiviti sukaneka dijalankan di perkarangan surau yang disambut meriah dengan kedatangan kanak-kanak setempat. Pelbagai acara dijalankan antaranya bowling menggunakan buah kelapa. Namun keadaan mendung membawa hujan yang agak lebat membantutkan acara petang itu. Tidak lama selepas hujan berhenti, acara tetap diteruskan dengan pelbagai lagi aktiviti yang mencuit hati penonton seperti gula-gula dalam tepung, lambung belon air dan sebagainya. Kelihatan riak kegembiraan terpancar di wajah kanak-kanak ini.
Setelah selesai aktiviti tersebut, kami menerima ketibaan wakil Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM, Encik Rosli bagi memantau Program Khidmat Komuniti ini. Majlis penutup segera diadakan memandangkan jam hampir menunjukkan jam 6.30 petang.
Majlis diteruskan dengan nyanyian Asmaul Husna, Lagu Negaraku, Lagu Usim Terus Maju, dan Lagu Bulan Sabit Merah diikuti ucapan alu-aluan pengarah program, wakil warga setempat dan wakil Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah sendiri. Sebelum majlis ditutup secara rasminya, penyampaian hamper kepada semua kanak-kanak sebagai cenderahati kami kepada warga setempat seluruhnya.
Tidak berakhir di situ, kami dijamu dengan kuih muih sebelum diminta untuk membuat persediaan untuk solat maghrib berjemaah sebelum bertolak pulang ke USIM. Harapan kami seluruhnya, agar Program Khidmat Komuniti ini bukanlah yang terakhir dalam diri setiap dari kami. Semoga program yang telah dijalankan mencapai objektif serta matlamat pelaksanaannya.
Akhir kalam dari saya wakil unit publisiti dan promosi, hayatilah kalimah “ لا حول ولا قوة إلا بالله” kerana disitulah letaknya kunci keikhlasan hati. Semoga sentiasa dibukakan pintu rahmat buat kita semua. Sekadar itu saja perkongsian saya kali ini. Yang baik itu semuanya dari Allah, dan yang lemah itu dari diri saya sendiri… Wallahua’lam...
p/s :: gambar lain akan diupload akan datang~
0 komentar bernas:
Post a Comment