Tuesday 12 July 2011

Ganjaran Dan Faedah Menderma Darah

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa hukum menderma darah itu adalah harus. Bahkan menderma darah merupakan salah satu perbuatan yang berkebajikan dan sangat bermanfaat kerana
terselindung di sebaliknya konsep tolong-menolong sesama saudara Islam. Menderma darah juga suatu amalan yang mulia kerana seseorang yang menderma darah itu tidak mengharapkan sebarang balasan, khususnya daripada segi kewangan ataupun material. Sekalipun hanya sebagai derma ataupun sumbangan sahaja, namun janganlah ia dipandang sebagai sesuatu yang sama sekali tiada mendatangkan keuntungan.

Seseorang yang menderma darah pasti akan menikmati kepuasan hati kerana telah menyelamatkan nyawa lain dengan darah yang telah didermakannya. Perlu juga diketahui bahawa setiap satu pendermaan keseluruhan darah (whole blood) boleh menyelamatkan sehingga tiga nyawa.

Selain itu, penderma darah akan mendapat manfaat kesihatan sebagaimana yang telah disahkan oleh pakar perubatan, antaranya seperti berikut:

  1. Menawarkan pemeriksaan kesihatan secara tetap dan teratur.
  2. Memberikan maklumat mengenai pendidikan kesihatan dan menggalakkan seseorang untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat.
  3. Hasil daripada proses menderma darah dapat membantu merangsang penghasilan sel darah merah yang baru dan seterusnya menyegarkan kembali sistem tubuh. Ini kerana selepas menderma darah, kiraan sel darah dalam badan akan berkurangan, yang mana akan merangsang sistem tubuh untuk menghasilkan darah merah yang baru bagi menggantikan darah yang telah hilang. 
  4. Menderma darah dapat mencegah dan mengurangkan pengumpulan zat besi yang berlebihan dalam tubuh, terutama di kalangan mereka yang mudah mengalami keadaan ini. 
  5. Kajian mendapati menderma darah dapat mengurangkan zat besi yang berlebihan dalam tubuh, seterusnya mengurangkan risiko menghadapi serangan jantung sebanyak satu pertiga. Ini adalah benar pada golongan lelaki yang tidak merokok yang kerap atau berulang-kali menderma darah.

Di samping manfaat dari segi kesihatan bagi penderma darah, mari kita perhatikan ganjaran dan balasan duniawi dan ukhrawi yang lain yang bakal diraih daripada perbuatan menderma darah
berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dalil mengenai ganjaran atau balasan daripada menderma darah ini diambil secara umum daripada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang dikhabarkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Seorang muslim itu adalah saudara seorang muslim yang lain. Dia tidak boleh berbuat aniaya dan menyakiti saudaranya tersebut. Barangsiapa yang menanggung (menolong) hajat saudaranya, maka Allah pun akan menanggung (menolong) hajatnya. Barangsiapa yang melepaskan salah satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahannya di antara kesusahan-kesusahan hari Kiamat. Dan barangsiapa yang menutupi (aib) seorang muslim, maka pada hari Kiamat kelak Allah akan menutupi (aib) nya.”                              
                                                                                                                (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menderma darah kepada orang Islam termasuk dalam maksud melepaskan kesusahan orang Islam yang berhajat kepada penambahan darah. Oleh itu orang yang menderma darah itu mendapat jaminan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan berbagai jaminan, antaranya seperti yang disebutkan dalam hadits di atas, ditunaikan hajatnya, dilegakan kesedihannya, ditutup keaiban, kelemahan dan kecacatannya sama ada semasa di dunia atau di akhirat kelak.
Sebagai kesimpulan, hukum menderma dan menerima darah itu adalah harus selama mana tidak mendatangkan mudarat kepada kedua-dua pihak, sama ada yang menderma atau yang menerima,
dengan mengambil kira nasihat daripada pakar perubatan bahawa hanya dengan pemindahan darah sahajalah jalan atau cara untuk menyembuhkan atau menyelamatkan nyawa pesakit.

Ganjaran dan balasan yang dijanjikan di dunia dan di akhirat, seperti yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sewajarnya membuka hati mana-mana individu agar giat menyumbang atau menderma darah bagi kepentingan individu yang lain.

(Sumber: Pejabat Mufti, Pejabat Perdana Menteri, Brunei)


Semoga selepas ini lebih ramai Rakyat Malaysia akan lebih berani untuk menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan disamping untuk mengejar ganjaran yang besar dijanjikan Allah

0 komentar bernas: